LALUAN tikus.
LALUAN tikus.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Laluan tikus yang dikenal pasti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan Selangor akan dipantau.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, ia bagi memastikan penduduk tidak menggunakan laluan itu untuk meloloskan diri bagi merentas daerah serta negeri.

"Kawalan, pemantauan dan pemerhatian oleh anggota serta pegawai polis diteruskan di laluan terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di 14 lokaliti di Kuala Lumpur menggunakan kaedah sama seperti PKPD sebelum ini.

Berbeza dengan kawalan PKPD di Selangor yang akan menumpukan penugasan sekatan jalan raya (SJR), penguatkuasaan PKPD sekitar ibu negara akan menggunakan kaedah pemasangan kawat duri dan penghadang jalan.

Di Selangor, jumlah SJR juga akan ditambah berdasarkan keperluan di setiap 34 mukim yang dilaksanakan PKPD.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan tahap pematuhan orang awam terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKPD secara mengejut di lapangan.

"Kita ada SJR secara statik dan pada masa sama pemeriksaan dibuat secara bergerak bagi memantau pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 1:56 PM