GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kegiatan pengedaran dadah lelaki berusia 39 tahun terbongkar selepas polis menahannya dan merampas 5.7 kilogram dadah dalam serbuan di Jalan Kuching di sini, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, lelaki itu ditahan dalam sebuah kereta pada jam 4 petang.

"Penahanan lelaki itu membawa kepada pemeriksaan di rumahnya di sebuah kondominium di Jalan Kuching.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta dan rumahnya itu menemui dadah jenis methamphetamine anggaran berat 5.7 kilogram. Turut dirampas sebuah lagi kenderaan Mitsubishi Triton dan wang tunai RM10,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, siasatan mendapati suspek menyewa rumah berkenaan sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM1,800 sebulan.

"Dengan penahanan lelaki itu, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dikesan aktif sejak tiga bulan di sekitar Lembah Klang," katanya.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman selama tujuh hari bermula Selasa sehingga 31 Mei ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 9:58 PM