FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memberi jaminan bahawa aspek pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di tapak binaan, akan dipertingkatkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, SOP di tapak bina sudah diperketatkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini, dengan tindakan lebih keras akan diambil terhadap mana-mana kontraktor yang melanggarnya.

"Antara aspek yang kita perketatkan termasuk mewajibkan semua pekerja, iaitu pekerja tempatan dan pekerja asing untuk menjalani ujian saringan Covid-19, bagi membuktikan mereka negatif sebelum memasuki tapak pembinaan.

"Selain itu, pemindahan pekerja ke tapak pembinaan lain juga tidak dibenarkan sama sekali di mana kontraktor perlu memastikan pekerja tapak bina mereka tidak berpindah ke tapak bina yang lain," katanya dalam program Ruang Bicara Bernama TV dengan topik 'Cabaran Industri Pembinaan di Era COVID-19'.

Ahmad Asri berkata sejak 18 Mac tahun lalu hingga kini, CIDB menjalankan kira-kira 17,000 pemeriksaan di tapak pembinaan.

Bagaimanapun beliau berkata, selain daripada pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berwajib, kontraktor sepatutnya memainkan peranan dalam memastikan SOP itu dipatuhi oleh semua pekerja.

Katanya, CIDB akan terus membantu industri pembinaan terutamanya syarikat pembinaan, supaya boleh terus beroperasi sekaligus mengurangkan cabaran yang dihadapi mereka, ketika pandemik ini.

"Sekarang ramai yang berpendapat, sepatutnya sektor pembinaan ini ditutup sepenuhnya seperti yang kita laksanakan pada 18 Mac tahun lalu (PKP 1.0).

"Tapi kita (CIDB) berpendapat, penutupan ini tidak wajar kerana ia (membabitkan kerugian) kira-kira RM11.6 bilion sebulan dan ini akan menjejaskan banyak pihak yang akan kehilangan pendapatan dan pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 3:42 PM