Anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang membuat  pemeriksaan ditapak pembinaan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang membuat pemeriksaan ditapak pembinaan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang memeriksa 584 tapak pembinaan di negeri ini bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sejak April lalu hingga kini.

Pengarahnya, Rozaiman Hassan berkata, daripada jumlah itu, 439 tapak pembinaan sahaja yang beroperasi selebihnya tidak dapat meneruskan aktiviti pekerjaan disebabkan beberapa faktor.

Katanya, 145 pemeriksaan ulangan turut dijalankan pihaknya.

"Kini, ada 4,588 pekerja membabitkan 1,428 pekerja tempatan dan 3,160 pekerja warga asing

yang berdaftar dengan CIDB bekerja di 439 tapak pembinaan.

"Dua tapak pembinaan di Bentong serta Maran dikenakan tindakan sebelum ini kerana tidak mematuhi SOP dan pekerjanya didapati menghidap Covid-19," katanya ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, antara SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap semua pekerja warga asing yang bekerja di sektor pembinaan ialah, mereka perlu menjalani ujian Covid-19 dan setiap hari, sebelum bekerja, perlu melakukan ujian suhu.

"Penguat kuasa CIDB dari semasa ke semasa melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan.

"Sekiranya mereka gagal mematuhi SOP ditetapkan KKM, mereka akan dikompaun termasuk tidak dibenarkan beroperasi untuk jangka masa tertentu," katanya.

Menurut beliau, semua kontraktor diwajibkan mendaftar pekerja tempatan dan asing yang bekerja dengan mereka.

Ia bagi memudahkan CIDB, KKM dan polis membuat semakan serta pemeriksaan sekiranya perlu.

"Rekod CIDB kini menunjukkan, jumlah projek pembinaan berskala besar dan sederhana banyak terdapat di daerah ini dan Bentong.

"Kontraktor pula banyak menggunakan pekerja warga Indonesia dan Bangladesh, selebihnya pekerja tempatan," katanya.

Menurut beliau, kerjasama diberikan syarikat pembinaan dapat membendung penularan Covid-19, terutama dalam kalangan warga asing.

"Penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing perlu diberi perhatian serius kerana jumlahnya besar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:40 PM