Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyarankan syarikat pembinaan melakukan ujian saringan Covid-19 dengan kerap terhadap pekerja tapak binaan sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu perlu menjadi amalan syarikat pembinaan supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dan mengelakkan wabak itu merebak meluas dalam komuniti.

"Langkah itu (ujian saringan secara kerap) dapat dikenal pasti awal supaya ianya (Covid-19) tidak merebak kepada komuniti. Ini kita nak lakukan supaya syarikat ini (pembinaan) mengambil tanggungjawab mereka sendiri.

"Seperti contoh di Tapak Bina Damanlela di mana mereka meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) mereka dengan melaksnakan ujian Covid-19 setiap dua minggu sekali atau sebulan sekali.

"Apabila mereka buat ujian, mereka dapat mengesan awal dan bila kesan awal kemudian lapor kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan mereka terus asingkan pekerja yang negatif tinggal di asrama dan positif dipindahkan ke hotel. Itu usaha yang baik," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi penguatkuasaan pematuhan SOP di ibu kota, hari ini.

PENGUATKUASA Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pekerja tapak binaan. FOTO Fathil Asri
PENGUATKUASA Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pekerja tapak binaan. FOTO Fathil Asri

Hadir sama, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid.

Operasi yang disertai CIDB dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas dua tapak pembinaan di Jalan Yap Kwang Seng dan Jalan Bukit Bintang.

Fadillah turut mengakui ada syarikat pembinaan yang kecil misalnya tidak berkemampuan melakukan ujian saringan secara kerap.

"Banyak syarikat besar buat (ujian saringan kerap), mungkin syarikat kecil tak mampu buat sebab itu kita perlu pantau dan galakkan mereka,"katanya.

FADILLAH (kiri) membuat lawatan ke tapak bina di Kuala Lumpur bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). FOTO Fathil Asri
FADILLAH (kiri) membuat lawatan ke tapak bina di Kuala Lumpur bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). FOTO Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 12:49 PM