GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri dan Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seramai 1,352 guru sekolah rendah dan menengah daripada keseluruhan 37,590 guru di Perak belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohammed Daud berkata, ada dalam kalangan mereka belum berdaftar manakala sebahagian lagi masih menunggu panggilan untuk divaksin.

"Bagi kategori guru Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Vokasional, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 pula, seramai 258 orang guru belum divaksin disebabkan hal sama.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan terus menggandakan usaha bagi memastikan semua guru akan menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ahmad Saidi berkata, program sesi kaunseling, webinar, bengkel pengurusan dan kepentingan vaksin akan dianjurkan sekiranya perlu bagi mencapai tujuan berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, 36,238 guru sekolah rendah dan menengah sudah divaksin.

Katanya, bagi kumpulan guru STAM, Vokasional, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 pula, daripada keseluruhan 9,684 guru seramai 9,426 guru sudah divaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 5:14 PM