Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seramai 204,153 penduduk di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari lalu sehingga hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 2,751,706 individu yang sudah mendaftar untuk PICK di Selangor.

"Setakat data yang kita ada, dari sudut peratusan, 4.2 peratus populasi di Selangor sudah menerima suntikan dalam program PICK.

"Pendaftaran setakat ini 2.7 juta, satu angka yang tinggi tetapi angka ini sekitar 1.3 daripada keseluruhan populasi rakyat di Selangor termasuk warga asing.

"Kita percaya, jika program itu berjaya, kita akan kembalikan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF),

kebangsaan dan negeri untuk proses pengagihan kerana ia harus dipercepatkan dan diperkemaskan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Selangor berpandangan proses vaksinasi di negeri ini harus dipercepatkan.

"Vaksinasi adalah satu dari strategi untuk melawan Covid-19. Kalau kita berjaya melaksanakan dengan cepat, pantas Dan menuju ke pihak sepatutnya... ia akan dapat mencapai sasaran," katanya.

Mengulas pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh beliau berkata:

"Strategi kerajaan hari ini adalah untuk kawalan kendiri di samping meneruskan aktiviti ekonomi, maknanya mereka yang bergerak dalam sektor ekonomi juga harus diberikan perhatian untuk divaksin.

"Ini bukan masalah kepada pemilik kilang, tauke atau pengusaha sahaja... Kita kena ingat ada pekerja yang kelompoknya B40 M40 yang harus divaksin, nasib pekerja ini perlu dilindungi," katanya.

PETUGAS perubatan memberikan suntikan vaksin AstraZaneca kepada orang ramai yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
PETUGAS perubatan memberikan suntikan vaksin AstraZaneca kepada orang ramai yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri boleh memberi suntikan vaksin secara percuma kepada lebih 230,000 individu penerima Skim Peduli Sihat dan warga emas berdaftar di negeri sekiranya perkara itu mendapat persetujuan daripada CITF.

"Kita juga menerima satu angka permohonan yang tinggi daripada sektor perkilangan yang berhasrat mendapatkan vaksin ini dan sanggup membayar kos pembeliannya bagi membolehkan pekerja mereka disuntik segera.

"Disebabkan itulah Selangor menawarkan kepada kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan bekalan vaksin ini untuk diberikan kepada kelompok ini kerana mereka juga perlu dilindungi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 3:31 PM