PETUGAS kesihatan Selcare menjalankan saringan Covid19. FOTO Hazreen Mohamad
PETUGAS kesihatan Selcare menjalankan saringan Covid19. FOTO Hazreen Mohamad
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 negara dilapor meningkat ke paras 1.21 berbanding 0.8 yang direkodkan pada pertengahan April lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan negara sedang berdepan gelombang ketiga yang amat membimbangkan.

Katanya, kemunculan beberapa varian baru dan lebih agresif terutamanya Variants of Concerns (VOC) di negara ini juga satu perkembangan yang merisaukan.

"Peningkatan kes harian bukan sahaja berlaku di Malaysia malah beberapa negara jiran seperti Thailand yang pernah menjadi 'role model' kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga merekodkan kes harian yang tinggi melebihi 9,000.

"Dari segi bilangan kluster, setakat 20 Mei 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 1,966 keseluruhan kluster sejak pandemik ini melanda negara kita.

"Daripada jumlah itu, terdapat 528 kluster aktif manakala 1,438 lagi kluster diisytiharkan tamat.," katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun begitu, kluster rentas negeri terus merekodkan peningkatan sepanjang April hingga Mei 2021.

Katanya, dalam tempoh ini sahaja, sebanyak 19 kluster dilaporkan daripada keseluruhan 50 kluster yang direkodkan akibat rentas negeri yang membabitkan 6,291 kes.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, 628 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Daripada jumlah itu, seramai 609 individu dikompaun manakala 19 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka sebanyak 162 kes, gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (158 kes), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (80 kes), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (61 kes), tiada penjarakan fizikal (47 kes) dan ain-lain sebanyak 120 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 8:04 PM