GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
SamadiAhmad


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan mengadakan solat sunat dan Khutbah Gerhana selepas solat Maghrib, hari ini, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Jabatan itu melalui satu kenyataan, hari ini berkata, fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku antara 7.18 hingga 8.52 malam ini.

Katanya, sesungguhnya fenomena gerhana adalah sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan yang perlu dijadikan iktibar bersama oleh semua umat Islam.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, berkata rakyat negara ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh atau 'bulan berdarah' bermula 4.47 petang ini dan dijangka berakhir 9.50 malam.

Menurut beliau, fasa penuh fenomena gerhana 'Super Flower Blood Moon' hanya boleh dilihat jika berada di Semenanjung Malaysia.

Azlikamal dilaporkan berkata, bagi mereka di Sabah dan Sarawak, orang ramai berpeluang menyaksikan proses pembentukan fenomena gerhana itu lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 11:26 AM