FENOMENA gerhana bulan penuh dapat dirakam jam 4.30 pagi. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
FENOMENA gerhana bulan penuh dapat dirakam jam 4.30 pagi. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


PROGRAM berbentuk keagamaan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya, bermula semalam hingga awal pagi ini susulan gerhana bulan penuh yang dapat disaksikan oleh rakyat Malaysia.

Bermula dengan solat Maghrib dan tazkirah berkaitan gerhana semalam, disusuli pula forum ringkas berkaitan gerhana selain cerapan planet.

Kemudian, ia disambung dengan cerapan gerhana bulan awal pagi ini pada jam 1.15 pagi manakala, jam 3.30 pagi gerhana bulan penuh bermula.

Solat sunat gerhana bulan penuh diadakan secara berjemaah dihadiri kira-kira 100 orang yang dipimpin oleh Ustaz Muhd Redza Ahmad serta diikuti khutbah bertajuk 'Gerhana Bulan Menginsafi Keagungan Ilahi'.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Unit Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Shahril Azwan Hussin berkata, ini fenomena kali kedua pada tahun ini selain disifatkan gerhana bulan penuh paling lama berlaku.

“Fasa gerhana bulan penuh kali ini bermula jam 3.30 pagi sehingga mencapai kemuncak pada 4.21 pagi berakhir 5.13 pagi.

“Bagaimanapun, kali ini bulan kelihatan lebih kecil berbanding fenomena Super Blue Blood Moon yang berlaku Januari lalu," katanya ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak tujuh teleskop berkomputer digunakan bagi cerapan di MTMZA, manakala dua lagi teleskop berkomputer di Masjid Putra.

Katanya, cerapan dilakukan oleh pihak JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Universiti Malaya serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 9:19 AM