SEORANG petugas kesihatan membuat persediaan menyutik vaksin di Hospital Pakar KPJ Seremban. FOTO Azrul Edham Aminuddin
SEORANG petugas kesihatan membuat persediaan menyutik vaksin di Hospital Pakar KPJ Seremban. FOTO Azrul Edham Aminuddin
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang menilai beberapa permohonan baharu pendaftaran bersyarat produk vaksin Covid-19.

NPRA dalam kenyataannya hari ini memaklumkan permohonan itu akan disegerakan tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan menggunakan kaedah berasaskan risiko.

"NPRA melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) melaksanakan laluan pendaftaran segera bersyarat untuk vaksin Covid-19 sejak 14 Disember tahun lalu iaitu melalui mekanisma pendaftaran 'priority review'.

"Ini bertujuan untuk mempercepatkan kelulusan dan seterusnya memberikan akses segera kepada penggunaan vaksin Covid-19 di negara ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu bagi menafikan dakwaan beberapa pihak mengenai peningkatan kes harian Covid-19 berpunca daripada kelewatan kelulusan produk vaksin Covid-19.

Menurut kenyataan itu lagi, tempoh penilaian permohonan lengkap bagi pendaftaran sudah dipendekkan kepada 120 hari bekerja berbanding 245 hari sebelum ini.

NPRA juga bekerjasama rapat dengan syarikat dan pengilang untuk memastikan pihak berkaitan segera mengemukakan maklumat yang lengkap bagi setiap permohonan.

"Sememangnya tanpa data dan maklumat yang lengkap, status kualiti, keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 tidak dapat ditentukan, seterusnya kelulusan pendaftaran bersyarat belum dapat diberikan oleh PBKD.

"Komunikasi dan kerjasama yang baik ini berjaya mempercepatkan kelulusan," katanya.

Setakat ini, terdapat enam produk vaksin Covid-19 yang selesai dinilai oleh NPRA dalam masa ditetapkan dan mendapat kelulusan pendaftaran bersyarat daripada PBKD.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 6:37 PM