Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-354 hari ini, bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi tiga produk vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin berkenaan ialah Covid-19 Vaccine AstraZeneca, Coronavac dan Comirnaty.

Beliau berkata, pendaftaran secara bersyarat itu memerlukan syarikat pemegang pendaftaran untuk mengemukakan analisis data-data tambahan dan terkini secara 'rolling submission' untuk dinilai Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Ia bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif.

"Pada masa ini, NPRA masih menilai dua lagi produk vaksin Covid-19 iaitu Gam-Covid-Vac atau Sputnik V (keluaran Gamaleya National Research Centre for Epidemiology and Microbiology, Russia) dan CoronaVac Suspension for Injection – Sinovac (pengilangan fill and finish oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd)," katanya pada sidang media Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin sudah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan NPRA dan diluluskan PBKD.

Menurutnya, kerajaan komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan (PICK).

GAMBAR hiasan. FOTO DANIAL SAAD
GAMBAR hiasan. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 7:28 PM