PEKERJA tukang sapu Alam Flora, Amyati Amirudin, 51.
PEKERJA tukang sapu Alam Flora, Amyati Amirudin, 51.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: "Pendapatan memang jatuh teruk, tapi nak buat macam mana lagi saya terpaksa hadap dan cari ikhtiar lain. Saya berharap pandemik ini cepat habis," luah peniaga makanan, Rafidah Md Ros.

Rafidah, 45, yang berniaga di tepi jalan terpaksa akur dengan apa jua pelaksanaan dibuat pihak berkuasa bagi memutuskan jangkitan Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lebih ketat, bermula esok.

Katanya, sejak Covid-19 melanda tahun lalu, pendapatannya sekadar cukup untuk melunaskan bayaran komitmen bulanan memandangkan mempunyai empat anak masih belajar.

"Syukur sebelum ini ada bantuan kerajaan seperti Geran Khas Prihatin, i-Lestari dan i-Sinar.

"Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar ini memandangkan PKP 3.0 akan dilaksanakan," katanya kepada Harian Metro.

Rafidah berkata, dia memohon agar kerajaan memantau lebih ketat kenaikan harga bahan mentah yang seperti tidak terkawal kerana dalam situasi sukar seperti sekarang sepatutnya harga bahan mentah lebih berpatutan.

Bagi Amyati Amirudin, 51, dia terpaksa memilih pekerjaan menjadi tukang sapu dengan syarikat Alam Flora untuk mendapatkan gaji bulanan secara tetap.

Menurutnya, sebelum ini, dia dan suami berniaga buah, tetapi disebabkan PKP, pergerakan terbatas sehingga membuat keputusan mencari kerja yang ada gaji tetap setiap bulan.

"Pendapatan memang terjejas sebab PKP tapi saya sudah biasa dan pada PKP 3.0 ini, saya berharap agar kerajaan lebih prihatin dengan golongan seperti kami," katanya.

Sementara itu, tukang kasut, Irwan Majid, 45 yang berniaga di kaki lima turut berharap kerajaan terus membantu golongan B40 dengan lebih menyeluruh.

Katanya, selagi dibenarkan beroperasi dia akan menawarkan perkhidmatan baik pulih kasut dan akur dengan apa sahaja arahan daripada kerajaan.

"Memang sekarang pendapatan cukup makan saja dan sukar untuk dapat semula jualan seperti sebelum Covid-19 melanda.

"Nak terlalu bergantung dengan kerajaan pun tak boleh juga, jadi sekarang ini saya ikhtiar dan bersabar," katanya yang pernah memperoleh pendapatan sehingga RM300 sehari sebelum PKP.

Bermula esok, sekatan tambahan bagi mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan dibuat melalui dua strategi, masing-masing arahan bekerja dari rumah (BDR) serta mengehadkan waktu operasi perniagaan bagi seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Selaras dengan sekatan tambahan itu, penguatkuasaan dan jumlah sekatan jalan raya (SJR) akan ditingkatkan bagi memantau pematuhan SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 7:16 PM