KELIHATAN seorang penjaja buah termenung ketika menunggu pelanggan di Taman Sri Gombak, semalam. FOTO Asyraf Hamzah.
KELIHATAN seorang penjaja buah termenung ketika menunggu pelanggan di Taman Sri Gombak, semalam. FOTO Asyraf Hamzah.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sudah dijangka, namun peniaga dan individu yang terkesan dengan arahan itu berharap nasib mereka terbela bagi menjamin kelangsungan hidup.

Siti Nurulhusna Bokhari, 38, yang mengusahakan produk kecantikan dan syarikat penerbitan berkata, antara langkah yang diharap meringankan bebannya adalah pemberian moratorium.

"Perniagaan saya tidak beroperasi semasa PKP, tapi kos operasi dan pinjaman tetap perlu dibayar.

"Jika kerajaan memberi moratorium dan bantuan seperti sebelum ini, dapatlah kurangkan kos berkenaan dan boleh kami gunakan untuk tujuan lain, contohnya membayar pekerja yang tidak bekerja.

"(Dengan penerusan bayar gaji) Dapat juga membantu mereka meneruskan kehidupan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Siti Nurulhusna juga percaya pemberian moratorium menyeluruh bukan hanya membantu peniaga tetapi pekerja yang tidak dapat bekerja dan mungkin mengalami pengurangan gaji.

Katanya, akan menunggu penuh debar pengumuman bantuan yang akan dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, nanti.

Bagi suri rumah, Siti Norzakiah Ileh, 30, dia berharap program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilanjutkan bagi menampung kos sara hidup keluarganya dan dijadikan simpanan waktu kecemasan.

Ibu tiga anak itu berkata, dia berhenti kerja enam tahun lalu, manakala suaminya yang mengusahakan kedai filem penapis haba kenderaan tidak dapat dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP, sekali gus menjejaskan pendapatan isi rumah.

"Sebelum ini saya menerima manfaat daripada program i-Sinar dan i-Lestari yang dilaksanakan. Sekiranya ia diteruskan, maka akan dapat meringankan beban keluarga.

"Peluang itu juga akan kami gunakan sebaik mungkin untuk simpanan kecemasan dan kegunaan berhemah," katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, pemberian moratorium menyeluruh memberi manfaat kepada semua pihak sama ada kerajaan, pihak bank dan isi rumah.

Katanya, moratorium mengurangkan kos pentadbiran kerajaan, manakala bank dapat mengurangkan kadar ketidakboleh bayaran daripada peminjam, dan isi rumah dapat mengurangkan beban kos sara hidup.

Menurutnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 menunjukkan tahap hutang isi rumah keseluruhan sekitar 82 peratus dan ini menunjukkan tahap hutang rakyat Malaysia adalah tinggi.

"Krisis pandemik yang dihadapi sekarang ini menghadkan operasi perniagaan dan pergerakan orang ramai.

"Jadi, saya berpandangan lebih ideal jika diberikan moratorium menyeluruh agar isi rumah dan golongan peniaga mempunyai ruang untuk bernafas dan mengadaptasi situasi semasa sebelum sektor ekonomi dibuka semula," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 4:26 PM