FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Biarpun negara berdepan dengan pelbagai cabaran pasaran sepanjang tahun 2020, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka masih mampu mengumumkan prestasi dividen yang kompetitif.

Dengan mengambil kira nilai dividen 5.45 peratus diumumkan KWSP bagi 2019, tidak mustahil jumlah itu dapat dicapai melebihi kadar agihan pendapatan unit Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Harian Metro mendapatkan reaksi pakar menjelang pengumuman pembayaran dividen dan mereka berpendapat KWSP mampu memberikan yang terbaik kepada pencarum.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beliau menjangkakan KWSP tidak akan mengalami masalah membayar dividen paling minimum 4.5 peratus dan mampu mencapai sehingga 5.5 peratus.

Menurutnya, selama ini dividen KWSP tidak pernah melebihi dividen ASB, tetapi untuk 2020, ia mungkin kali pertama dividen KWSP melebihi dividen 4.25 peratus yang diisytiharkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan jika ditambah bonus ASB itu, minimum menyamai jumlah lima peratus itu.

"Oleh itu, saya yakin kadar dividen paling minimum pun adalah 4.5 peratus.," katanya.

Mengulas mengenai laporan bahawa aliran keluar dana melalui i-Lestari dan i-Sinar mungkin tidak mempunyai kesan yang signifikan terhadap kadar dividennya Dr Ahmed Razman berkata, KWSP mempunyai 14.8 juta ahli dengan 7.6 juta adalah ahli aktif dan sebelum pandemik Covid-19, KWSP menerima caruman bersih berjumlah RM1.7 bilion setiap bulan.

Dengan aset menghampiri RM1 trilion, katanya, KWSP adalah dana pencen ke-12 terbesar di dunia.

"Namun, apabila pengangguran meningkat sehingga 5.3 peratus atau 826,100 penganggur pada Mei lalu, ia memberi kesan kepada caruman diterima KWSP.

"Pengeluaran sejak April 2020 sebanyak RM14.41 bilion bersamaan 1.5 peratus daripada keseluruhan aset KWSP dan i-Sinar dengan pengeluaran sebanyak RM19.62 bilion, ia menjadikan jumlah keseluruhan pengeluaran sekitar RM34 bilion iaitu 3.6 peratus daripada aset KWSP," katanya.

Beliau berkata, jumlah itu belum lagi termasuk permohonan i-Sinar di bawah Kategori 2 yang masih dalam proses permohonan membabitkan 1.4 juta ahli.

"Namun KWSP sudah membuat persediaan atas pengeluaran wang ini sejak bulan Mac tahun lalu dengan meningkatkan pegangannya dalam instrumen pasaran mata wang yang lebih cair, tetapi kebiasaannya memberikan pulangan pelaburan lebih rendah dari jenis pelaburan lain.

"Saya yakin selepas 2020, KWSP akan mampu mengekalkan, malah memberi kadar dividen lebih tinggi pada masa hadapan kerana ekonomi global sudah mula menunjukkan pemulihan dan pengedaran vaksin turut membantu pemulihan ekonomi," katanya.

Kata Dr Ahmed Razman, untuk terus memberi kadar dividen lebih baik pada masa depan, Peruntukan Aset Strategik (SAA) memang membantu KWSP menjana pulangan atas pelaburan yang tinggi setiap tahun.

"Namun saya melihat ia hanya sebagai panduan. Disebabkan itu, apabila pencarum dibenarkan mengeluarkan wang di bawah program i-Lestari dan i-Sinar, saya melihat KWSP membuat perubahan dalam SAA mereka supaya matlamat membantu pencarum tercapai tetapi pada masa sama pulangan atas pelaburan yang tinggi masih diperolehi.

"KWSP sentiasa menunjukkan prestasi terpuji setakat ini kerana ia diuruskan oleh pengurusan yang profesional selain mengamalkan tadbir urus korporat yang tinggi," katanya.

Bagi Ketua Penyelidikan MIDF Research Imran Yassin Md Yusof pula, pihaknya tidak membuat sebarang unjuran dividen daripada KWSP atau mana-mana syarikat pengurusan aset.

Pihaknya berpendapat sekurang-kurangnya dividen diberikan setanding dengan dividen ASB yang diumumkan baru-baru ini berikutan prestasi KWSP yang memberangsangkan.

"Jika dilihat, pendapatan pelaburan bersih KWSP untuk sembilan bulan pertama 2020, ia menunjukkan perbezaan yang sangat kecil iaitu dalam 0.5 peratus daripada pendapatan pelaburan bersih pada seluruh tahun 2019.

"Adalah mustahil KWSP tidak merekodkan sebarang pendapatan pada suku ke-4 tahun lalu. Di sebalik prestasi ini, kita juga perlu ingat bahawa terdapat pengeluaran lebih banyak pada tahun 2020 melalui i-Lestari dan i-Sinar tahun ini, kami perlu mengambil kira faktor ini," katanya.

Beliau berkata walaupun Covid-19 memberi impak besar kepada perniagaan namun sepanjang tahun 2020, pasaran modal domestik dan luar negara terutamanya di Amerika Syarikat amat rancak.

Tahun lalu, katanya, harga bon meningkat dan FBM KLCI tutup 2.4 peratus lebih tinggi.

"Strategi KWSP yang berpandukan Strategic Asset Allocation (SAA) juga memberi sokongan kepada prestasi KWSP di mana risiko pelaburan tidak ditentukan kepada suatu kelas aset sahaja.

"Kami berpendapat KWSP boleh menampung aliran keluar daripada langkah kecemasan yang diumumkan kerajaan kerana selain prestasi pelaburan, KWSP juga sentiasa fokus kepada pengurusan aliran tunai. Aliran masuk setiap tahun juga adalah tinggi," katanya.

Beliau berpendapat KWSP dapat memastikan dividen tahunan kekal stabil dan pandangan ini berpaksikan strategi SAA.

"Pelaburan dilakukan kepada beberapa kelas aset antaranya pendapatan tetap, pasaran ekuiti, hartanah dan pasaran wang.

"Ini sebagai cerminan matlamat jangka panjangnya untuk memastikan kelestarian pendapatan dan mencegah reaksi berlebihan terhadap pergerakan pasaran, pendapatan dan dividen setiap tahun lebih stabil," katanya.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berikutan ekonomi global meleset, pasaran kewangan begitu meruap serta kadar faedah rendah, dividen KWSP pada tahun 2020 dijangka rendah berbanding 2019.

Oleh itu, menurutnya pencarum disaran meletakkan pengharapan realistik terhadap dividen yang bakal diumumkan.

"Hakikatnya, ASB dan KWSP adalah dua dana berbeza baik dari segi objektifnya mahupun komposisi aset di dalam portfolio mereka.

"Apa yang penting, setiap pelaburan dibuat akan mendatangkan pulangan kompetitif dan sesuai dengan iklim pelaburan yang sentiasa tidak menentu terutamanya apabila ekonomi menghadapi kemelesetan akibat daripada penularan wabak Covid-19.

"Selain itu, dividen KWSP yang dijamin adalah 2.5 peratus berdasarkan Akta KWSP 1991. Ini bermakna wang pencarum sentiasa berkembang dan dividen yang diberi mempunyai paras lantai," katanya.

Mengulas mengenai strategi KWSP berhadapan trend hasil rendah disebabkan pandemik Covid-19, Dr Mohd Afzanizam berkata, strategi mempelbagaikan aset pelaburan banyak mengurangkan risiko pelaburan.

"Pelaksanaan Strategic Asset Allocation (SAA) banyak membantu pihak KWSP merangka strategi pelaburan yang mana pulangan dioptimumkan sesuai dengan tahap risiko pelaburan yang sanggup diambil.

"Dalam isu aliran keluar dana bagi i-Lestari dan i-sinar pula, pihak KWSP juga mempunyai pengalaman yang luas mengendalikan skim pengeluaran.

"Justeru, pencarum tidak perlu bimbang kerana KWSP sentiasa mempunyai aliran konsisten seperti caruman diterima daripada majikan serta pulangan pelaburan seperti dividen dan faedah diterima serta keuntungan jualan instrumen pelaburan," katanya.

Mengulas sama ada KWSP dapat mengekalkan kadar dividen yang baik pada masa hadapan, Dr Mohd Afzanizam berkata, ia bergantung kepada iklim pelaburan semasa.

"Yang pasti strategi pelaburan sentiasa dinamik dan setiap keputusan pelaburan akan mengambil kira faktor risiko pelaburan.

"Pertimbangan antara pulangan dan risiko pelaburan perlu diterap serta dikongsi bersama pencarum supaya mereka lebih memahami kenapa pulangan pelaburan boleh berubah-ubah mengikut trend semasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 7:01 AM