GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) hari ini mengesahkan kakitangannya di cawangan Taiping, Perak positif Covid-19, sekali gus menutup sementara premis berkenaan mulai esok.

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, tiada operasi mulai Isnin bagi menjalankan proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh di cawangan terbabit.

"Proses pengesanan kontak sedang dilakukan dan semua kakitangan cawangan juga akan menjalani ujian saringan Covid-19, manakala mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan itu diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Puspakom akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghadapi gejala ini," katanya.

Menurut Puspakom, pembukaan semula cawangan itu akan diumumkan kelak melalui saluran media sosial rasmi mereka.

Katanya, bagi pelanggan yang mempunyai temu janji di Puspakom Taiping, semua bayaran temu janji pemeriksaan yang dibuat akan dipulangkan secara automatik.

"Sebagai alternatif, pelanggan yang membuat temu janji di Puspakom Taiping juga boleh menjalani pemeriksaan secara walk-in dengan pembayaran perlu dilakukan di cawangan Puspakom Gopeng, Ipoh, Teluk Intan, Manjung dan Mak Mandin.

"Pelanggan hanya perlu membawa slip pengesahan temujanji Puspakom Taiping semasa hadir ke cawangan alternatif terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 3:52 PM