GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara terus tanpa janji temu atau walk-in di Lembah Klang akan memulakan operasi pada 2 Ogos ini untuk golongan 40 tahun ke atas dan yang mempunyai komorbiditi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, untuk mengelakkan daripada masalah berita palsu, bukan semua PPV menerima individu tanpa janji temu itu.

Katanya, senarai PPV yang dibenarkan untuk tujuan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat hari ini menerusi siaran media Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

"Saya harap mereka yang menerima mesej tular di WhatsApp berkenaan senarai PPV dengan vaksin tertentu untuk walk-in itu adalah tidak benar.

"Senarai PPV untuk walk-in di Lembah Klang hanya akan dikeluarkan CITF pada hari ini jangan anggap bahawa semua PPV dibuka untuk walk-in.

"Bagi walk-in kaedah adalah first come first serve atau siapa dulu dia dapat. Ia bergantung kepada kapasiti PPV itu," katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, orang ramai yang datang un tuk vaksinasi tanpa janji temu di PPV kelak akan dimaklumkan mengenai berapa ramai atau kapasiti sehari untuk imunisasi.

Katanya, bagi mereka yang tidak dapat suntikan vaksin akan diberikan keutamaan pada keesokannya.

"Itu kaedah pelaksanaan PPV walk-in bagi Lembah Klang dan perinciannya nanti akan diedarkan kenyataan media," katanya.

Katanya, PPV yang terbabit juga akan mengutamakan individu yang sudah mempunyai janji temu untuk suntikan vaksin.

Seterusnya, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata, kaedah walk-in untuk PPV ditetapkan juga akan dibuka kepada 18 tahun ke atas bermula 5 Ogos ini.

"Jadi ditegaskan sekali lagi vaksinasi di Lembah Klang, apabila kita selesai Operasi Lonjakan Kapasiti pada 1 Ogos seterusnya pada 2 Ogos akan dimulakan dengan vaksinasi secara walk-in di Lembah Klang bukan esok (1 Ogos)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 12:44 PM