Ilah Hafiz Aziz dan Ruwaida Md Zain


Klang: Kerajaan akan meneliti kaedah supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga kecil boleh beroperasi dengan segera dalam masa terdekat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk melihat perincian pembukaan ekonomi bagi sektor terbabit.

Katanya, kerajaan sedar mereka yang terjejas teruk akibat tindakan sekatan pergerakan ini membabitkan golongan PKS dan peniaga mikro.

"Kita sedang bincang perkara ini kerana yang terjejas teruk adalah peniaga mikro. Sebenarnya kita sudah buka (bagi kebenaran) kepada peniaga kecil menjual makanan di tepi jalan untuk memberi peluang meneruskan kehidupan. Permohonan mereka supaya dilonggarkan waktu perniagaan juga sudah dibenarkan.

"Tetapi masih banyak lagi peniaga PKS yang terjejas. Insya-Allah kita akan berbincang dengan menteri MEDAC berhubung perkara ini," katanya pada Op Patuh di sebuah kilang elektronik di sini, tadi.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah

Ditanya adakah semua sektor ekonomi PKS akan dibuka dalam tempoh Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), Ismail Sabri, berkata ia akan dibincang dengan Wan Junaidi terlebih dulu.

Mengulas prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan ekonomi PKS pula, beliau berkata, perkara itu akan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam perkembangan itu, Ismail Sabri berkata, keputusan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor berkuat kuasa semalam, diambil selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau juga menegaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan sesekali membuat keputusan mengenai soal kesihatan tanpa penilaian daripada KKM.

"Saringan kesihatan dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi dan KKM juga sudah melaksanakan dan selesai melakukan saringan itu... oleh itu penamatan perintah ini adalah mengikut nasihat daripada KKM," katanya.

Ditanya mengenai kes jangkitan yang terlalu tinggi meskipun Selangor berada dalam tempoh PKPD selama 14 hari, Ismail Sabri mengulangi kenyataan beliau bahawa ia berpunca daripada saringan besar-besaran dilakukan KKM.

"Kelmarin sahaja ada lebih 55,000 saringan dilakukan dan kes positif dikesan sejumlah 6,000 kes atau lebih kurang 12 ke 13 peratus sahaja.

"Saringan sedemikian sudah ditamatkan dan bertumpu di kawasan bersasar. Begitu juga PKPD hanya diteruskan secara lokaliti sahaja, di kawasan berisiko tinggi. Apabila PKPD bersasar kita juga akan membuat saringan," katanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 8:32 PM