ISMAIL Sabri. FOTO Arkib NSTP
ISMAIL Sabri. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangannya di Tapah, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula esok sehingga 1 Mac depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan situasi kes Covid-19 di kawasan itu.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 187 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Penjara Tapah dan kuarters kakitangan itu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar kepada semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terbabit untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

Katanya, SOP PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 5:46 PM