JAMALUDIN Hamzah bersyukur kerana dibenarkan berniaga ketika PKP 3.0 walaupun waktu perniagaan hanya selama 12 jam mulai jam 8 pagi di Jalan Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
JAMALUDIN Hamzah bersyukur kerana dibenarkan berniaga ketika PKP 3.0 walaupun waktu perniagaan hanya selama 12 jam mulai jam 8 pagi di Jalan Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Ramai peniaga warung di daerah ini bersyukur kerana masih dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 walaupun dalam tempoh 12 jam sehari.

Peniaga di Jalan Pengkalan Balak, di sini, Jamaluddin Hamzah, 60, berkata, kemerosotan jualan tidak dapat dielakkan susulan arahan PKP selain orang ramai tidak dibenarkan merentas negeri untuk melancong.

"Saya terpaksa menerima hakikat jualan makanan dan minuman merosot teruk berikutan hanya jualan secara bungkus dan bawa pulang dibenarkan.

"Jika sebelum PKP dilaksanakan, saya mampu memperoleh jualan hingga mencapai empat angka namun kini jualan merosot hampir 60 peratus," katanya.

Bagaimanapun dia tetap bersyukur kerana masih dibenarkan beroperasi berbanding tidak dibenarkan berbuat demikian ketika PKP 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

"Sebelum ini saya mula berniaga pada jam 7 pagi tetapi sekarang kena lewatkan sejam bagi mematuhi peraturan baru PKP," katanya ketika ditemui tadi.

Anaknya, Nur Syaqirah, 34, berkata, kekurangan pelanggan memang sudah dijangkakan tetapi dia yakin jualan air secara bungkus mampu bertahan.

"Pelanggan tetap memesan air terutama pada sebelah pagi walaupun sekadar bungkus dan bukannya minum di warung," katanya.

Peniaga warung di pekan Lubok Cina di sini, Kamaruzaman Md Ali, 46, berkata, dia terpaksa menghadkan jualan makanan berikutan kurangnya sambutan pelanggan.

Dia berkata, jualan makanan dan minuman mencatatkan penurunan ketara berpunca kebanyakan pelanggan tidak keluar rumah.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada asam garam perniagaan yang terpaksa ditelan dengan sabar dan reda atas takdir Tuhan menurunkan pandemik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 3:09 PM