Mohd Hafizee Mohd Arop


HAMPIR empat bulan meraih pendapatan harian tinggi iaitu kira-kira RM400 dengan menjual air ketum, akhirnya seorang lelaki ditahan polis apabila kegiatan dijalankan di rumahnya itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan polis dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di rumahnya di Kampung Loh, Enggor, Sungai Siput, 11.45 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, polis merampas 40 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum dan tiga plastik hitam mengandungi daun ketum yang belum diproses dianggarkan keseluruhan berjumlah RM1,500 serta peralatan digunakan untuk memasak daun berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan Juna Yusoff, berkata ketika serbuan dijalankan pihaknya, lelaki berkenaan dipercayai sedang memasak daun berkenaan di bawah rumahnya untuk jualan.

Katanya, pemeriksaan kemudian menemui semua botol berisi cecair disyaki air ketum serta daun ketum di dalam tiga beg plastik hitam sebelum suspek ditahan dan dibawa ke IPD Sungai Siput untuk siasatan lanjut.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing dijalankan negatif, suspek dipercayai memperoleh bekalan daun berkenaan di sekitar daerah ini dan memprosesnya untuk dijual kepada pembeli dari daerah ini.

“Setiap botol dijual dengan harga RM10 dan setiap hari suspek dipercayai berjaya menjual antara 30 hingga 40 botol,” katanya dalam sidang media di IPD Sungai Siput, hari ini.

Juna berkata, suspek direman selama sehari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 8:08 PM
JUNA (tengah) menunjukkan rampasan air ketum dan daun ketum pada sidang media di IPD Sungai Siput, hari ini. FOTO L Manimaran.
JUNA (tengah) menunjukkan rampasan air ketum dan daun ketum pada sidang media di IPD Sungai Siput, hari ini. FOTO L Manimaran.