GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Shah Alam: Ujian saringan bersasar secara percuma terhadap rakyat Selangor yang dijalankan klinik Selcare, milik anak syarikat Kerajaan Negeri ke atas individu yang mempunyai sejarah melawat ke Sabah, mengesan empat kes positif Covid-19, setakat ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan di laman Twitternya berkata, kes positif itu dikesan ke atas dua individu dari Gombak dan masing-masing satu kes dari Subang dan Puchong, sejak ujian saringan bersasar itu dijalankan di klinik berkenaan Ahad lalu hingga semalam.

"Seramai 573 individu sudah disaring, mereka yang didapati positif Covid-19 sudah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk rawatan dan penjejakan kontak," katanya hari ini.

Amirudin berkata, program saringan bersasar di semua cawangan klinik Selcare milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd itu akan diteruskan dua hari lagi sebelum pihaknya memberi tumpuan terhadap saringan bersasar di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jumaat lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan beberapa langkah sebagai persediaan menghadapi peningkatan kes baharu penularan wabak Covid-19 termasuk program saringan bersasar secara percuma kepada rakyatnya yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada 20 hingga 26 September lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 5:29 PM