Gambar tular yang mendakwa Exco Selangor dalam satu majlis sambutan hari raya di rumahnya dipercayai  di Kuala Langat. FOTO Tular
Gambar tular yang mendakwa Exco Selangor dalam satu majlis sambutan hari raya di rumahnya dipercayai di Kuala Langat. FOTO Tular
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang Exco Selangor melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri seperti ditularkan di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan dijalankan selepas satu laporan dibuat berikutan tular gambar majlis sambutan Aidilfitri yang didakwa dianjurkan di rumah Exco berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit petang semalam dan akan memanggil Exco terbabit serta individu di dalam gambar yang ditularkan itu.

"Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Jika didapati melakukan kesalahan (perlanggaran SOP), tindakan akan diambil mengikut peruntukan yang ada," katanya dalam sidang media menerusi Google Meet, hari ini.

Arjunaidi berkata, jumlah individu terbabit dalam majlis sambutan Aidilfitri itu masih dalam siasatan.

"Jumlah berapa ramai tidak dapat dipastikan lagi... daripada keterangan mereka nanti, baru kita akan dapat kesan.

"Tetapi berdasarkan gambar memang ramai dan semua akan dipanggil untuk beri keterangan (termasuk Exco)," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar yang didakwa berlaku perlanggaran SOP ziarah raya sehingga menerima kritikan awam.

Media semalam melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor dipetik berkata, perkara itu dikesan polis sekitar 5.45 petang pada Khamis selepas ditularkan di laman Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 4:22 PM