(Dari kiri) Ustaz Iqbal, Ustaz Don, Ustaz Azhar Idrus, Khalid dan SitiNurhaliza pada majlis tahnik. FOTO Instagram Siti Nurhaliza
(Dari kiri) Ustaz Iqbal, Ustaz Don, Ustaz Azhar Idrus, Khalid dan SitiNurhaliza pada majlis tahnik. FOTO Instagram Siti Nurhaliza
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika majlis tahnik anak keduanya, awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Katanya, tiga anak Khalid iaitu Muhammad Adif Khalid, Muhammad Aazief dan Muhammad Asyraf masing-masing dikenakan kompaun RM2,000.

"Berhubung laporan pelanggaran SOP bertarikh 3 Mei lalu, bahagian pendakwaan sudah mengeluarkan arahan untuk kita mengenakan kompaun kepada mereka yang berkenaan, iaitu Datuk Seri Khalid sebanyak RM10,000 dan Datuk Seri Siti Nurhaliza juga sebanyak RM10,000 di atas kegagalan memastikan penjarakan sosial sewaktu bergambar dan sebagainya (ketika majlis berkenaan).

"Polis turut mengenakan kompaun kepada Muhammad Adif Khalid, Muhammad Aazief, Don Daniyal Don Biyajid, Iqbal Zain dan Muhammad Asyraf sebanyak RM2,000 setiap seorang.

"Selain itu juga, kita turut menawarkan kompuan kepada Datuk Seri Dr Zulkifli dan Ustaz Azhar Idris masing-masing sebanyak RM2,000, " katanya dalam sidand media, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, 15 individu dipanggil memberikan keterangan berhubung dakwaan berlaku pelanggaran SOP pada majlis tahnik anak kedua pasangan itu.

Selain itu Arjunaidi berkata, polis turut mengenakan kompaun terhadap Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim dan Arbaiyah Abdul Manan serta pasangan masing-masing berhubung kes perlanggaran SOP yang dilaporkan pada 17 Mei lalu.

"Bagi kes Hulu Klang, laporan bertarikh 17 Mei, ini berkaitan ziarah Aidilfitri... polis menerima arahan dari Ketua Bahagian Pendakwaan untuk mengenakan kompaun kepada mereka yang terbabit.

"Terdapat empat individu di sini yang dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang iaitu Norman Hakim, Abby Abadi, Suhaiza Suhaimi (Memey Suhaiza dan Muhammad Faizal Zakaria.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar yang didakwa melanggar SOP kerana menghadiri dan merasmikan program di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini turut dikompaun.

"Bagi kes penganjuran satu majlis di UPM yang ditularkan baru-baru ini, polis mengenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kepada Datuk Dr Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Timbalan Naib Canselor (Academik), manakala penganjur dikompaun RM10,000," katanya.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, polis sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung perlanggaran SOP oleh Exco Selangor yang menganjurkan sambutan Aidilfitri di kediamannya yang tular di media sosial.

"Kertas siasatan sudah selesai dan kita akan rujuk pada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan kita tunggu keputusannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 1:09 PM