ARJUNAIDI (tengah)  melakukan pemantauan SOP di Pantai Bagan Lalang. FOTO Samadi Ahmad
ARJUNAIDI (tengah) melakukan pemantauan SOP di Pantai Bagan Lalang. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Polis mengeluarkan 423 kompaun kepada individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) di Selangor bermula pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 pada 10 September lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kompaun dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan SOP.

Katanya, walaupun SOP Fasa 2 PPN dilonggarkan namun polis masih menggerakkan 700 pasukan pemantau membabitkan 3,000 anggota setiap hari bagi memastikan orang ramai patuh SOP.

"Secara keseluruhannya kita berpuas hati terhadap pematuhan SOP orang ramai dan kuasa penutupan pusat tumpuan awam adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bidang kuasa polis hanyalah sebagai pelaksana undang-undang," katanya pada sidang media selepas mengadakan pemantauan SOP Fasa 2 PPN di Pantai Bagan Lalang di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Arjunaidi berkata, pihaknya mengakui orang ramai berpusu-pusu keluar ke tempat perkelahan dan rekreasi selepas kerajaan mengumumkanperalihan Fasa 2 PPN di Selangor.

Walau bagaimanapun, keadaan itu dapat dikawal melalui pasukan pemantau yang digerakkan di setiap kawasan tumpuan awam.

Katanya, hasil pemantauan pihaknya di Pantai Bagan Lalang mendapati sebahagian besar pengunjung yang datang terdiri daripada ahli keluarga dan mereka tidak bercampur dengan orang lain.

"Polis memberi kelonggaran kepada pengunjung dan pada masa kita pastikan mereka patuh SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:04 PM