Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor bakal berdepan dengan peningkatan kes demam denggi pada tahun depan sekiranya langkah pencegahan awal dan kawalan tidak dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata peningkatan kes secara mendadak akan berlaku setiap empat ke lima tahun berdasarkan kitaran demam denggi di Malaysia bagi tempoh 20 tahun.

Beliau berkata, Selangor merekodkan kes demam denggi yang tinggi empat tahun lalu iaitu pada 2019 dengan 72,543 kes justeru peningkatan kes dijangka berlaku pada tahun ini atau tahun depan.

"Sehingga 11 Februari lalu (minggu epid keenam 2023), sebanyak 6,870 kes direkodkan dengan peningkatan sebanyak 141.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.

"Sebanyak 510 lokaliti wabak denggi juga direkodkan dalam tempoh yang sama yang mana Petaling mencatatkan 203 ,lokaliti; Hulu Langat (120), Klang (82), Gombak (69), Hulu Selangor (24); Kuala Langat (10) serta masing-masing satu lokaliti di Kuala Selangor dan Sepang.

"Tahun lalu, kes demam denggi yang direkodkan adalah sebanyak 37,545 dan bayangkan (peningkatan kes) jika ia tidak dikawal," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata jumlah kematian yang tinggi juga direkodkan pada 2019 iaitu 56 kematian diikuti 37 pada 2020; dua (2021); 14 (2022) dan dua kematian bagi tahun ini sehingga Januari lalu.

Justeru katanya, dalam usaha mengawal peningkatan kes demam denggi di negeri ini, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melaksanakan Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) bermula semalam hingga 22 Mac depan.

Katanya, program berkenaan akan memberi fokus kepada empat daerah yang mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

"Program ini juga bertujuan bagi meningkatkan tahap kesedaran dan advokasi masyarakat setempat berhubung demam denggi," katanya.

DR Siti Mariah pada sidang media mengenai pelaksanaan Operasi Bersepadu Denggi Negeri Selangor (OBDS) 2023 di Bangunan SUK Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.
DR Siti Mariah pada sidang media mengenai pelaksanaan Operasi Bersepadu Denggi Negeri Selangor (OBDS) 2023 di Bangunan SUK Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 5:12 PM