Surirumah berusia 58 tahun yang bertindak menumbuk perut dan membaling pisau kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pasar Awam Pulau Tikus, semalam, sudah ditahan polis. FOTO IHSAN PEMBACA
Surirumah berusia 58 tahun yang bertindak menumbuk perut dan membaling pisau kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pasar Awam Pulau Tikus, semalam, sudah ditahan polis. FOTO IHSAN PEMBACA
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Wanita yang menumbuk perut dan membaling pisau kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas ditegur tidak memakai pelitup muka di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini, semalam, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata wanita berusia 58 tahun itu ditahan berhampiran kediamannya di Jalan Burma, di sini, pada jam 1.30 petang, hari ini.

Katanya, turut dirampas ialah pisau berukuran 12 sentimeter (sm) yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

"Surirumah terbabit sudah ditahan hari ini oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Pulau Tikus.

"Suspek turut mengakui bahawa dia tidak berpuas hati dengan penguatkuasa MBPP kerana menutup laluan di kawasan pasar itu itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian pada Ahad lalu itu, wanita terbabit bertindak menumbuk perut penguatkuasa MBPP selepas ditegur tidak memakai pelitup muka ketika memasuk menerusi laluan tikus di pasar awam berkenaan.

Wanita terbabit kemudian bertindak membaling pisau ke arah penguatkuasa berkenaan namun tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

Berita berkaitan

Wanita tumbuk perut anggota penguat kuasa MBPP dicari

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:43 PM