GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis memanggil seramai 11 individu di Samarahan bagi membantu siasatan kes melanggar prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung beberapa keping gambar ziarah Aidilfitri yang dimuat naik di Facebook, Sabtu lalu.

Beliau berkata, gambar terbabit memaparkan beberapa individu tidak memakai pelitup muka serta tiada penjarakan fizikal.

"Hasil siasatan awal mendapati gambar itu dirakam ketika ziarah Aidilfitri pada hari raya kedua dan ketiga di sebuah rumah yang dinyatakan di Asajaya, Samarahan.

"Seramai 11 individu sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sudirman berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

"Kompaun akan dikeluarkan kepada mereka yang terbabit selepas mendapat persetujuan daripada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengeluarkan SOP sambutan Aidilfitri yang hanya membenarkan ziarah raya pada hari pertama perayaan dengan kehadiran kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 12:16 PM