PENDUDUK memantau paras air sungai yang melimpah ke dalam kawasan perkampungan menyebabkan persisiran jalan mula dinaiki air ketika tinjauan banjir kilat di Kampung Morten, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
PENDUDUK memantau paras air sungai yang melimpah ke dalam kawasan perkampungan menyebabkan persisiran jalan mula dinaiki air ketika tinjauan banjir kilat di Kampung Morten, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
Nuraliawati Sabri


Melaka: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 554 orang pagi ini, berbanding hanya 321 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, berbanding hanya empat semalam.

"Sehingga pagi tadi, seramai 128 keluarga membabitkan 554 mangsa terjejas dipindahkan ke PPS dan angka itu dijangka bertambah kerana ada PPS yang masih dalam proses pengiraan.

"Pertambahan tiga PPS adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim di daerah Melaka Tengah serta SJKC Shuh Yen di Jasin," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 16 kawasan dilaporkan terjejas dan daerah paling banyak adalah di Melaka Tengah.

"Kawasan terjejas adalah di Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Taman Rambai Indah, Tanjung Minyak, Kampung Pengkalan Batu dan Rumah Awam Ayer Molek.

"Di Alor Gajah, ia membabitkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi serta Taman Kasawaridi kawasan Durian Tunggal," katanya.

Tambah beliau, di Jasin pula tiga kawasan dilaporkan terjejas iaitu di Tanjung Laboh, Lubok Kasau dan Taman Hang Tuah Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 10:12 AM