Sulaiman (tengah) meninjau keadaan mangsa banjir di PPS SK Ayer Molek hari ini. Foto Amir Mamat
Sulaiman (tengah) meninjau keadaan mangsa banjir di PPS SK Ayer Molek hari ini. Foto Amir Mamat
Amir Mamat

Melaka: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Melaka Tengah bagi menempatkan 85 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat malam tadi.

PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil dibuka pada 11 malam selepas berlaku kenaikan air di Taman Tuah Perdana, Tehel di sini menyebabkan 44 keluarga terpaksa dipindahkan segera ke lokasi selamat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, sehingga 8 pagi hari ini, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek menyaksikan peningkatan mangsa apabila seramai 73 orang terpaksa dipindahkan berbanding 55 mangsa pada 12 tengah malam tadi.

Menurutnya, ia adalah susulan kenaikan air yang berlaku di Rumah Awam Ayer Molek selepas hujan lebat berterusan sejak 11 pagi hingga lewat petang semalam.

"Bagi kawasan di Jasin pula, seramai 125 mangsa ditempatkan di PPS SK Tehel membabitkan 30 keluarga, manakala PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen pula menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga.

"Di Alor Gajah, PPS SK Durian Tunggal menyaksikan pertambahan kepada 59 mangsa diikuti PPS SK Ganun (12 mangsa) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan (satu mangsa)," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengadakan lawatan ke PPS Ayer Molek pagi hari ini.

Lawatan diiringi Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 11:45 AM