Penduduk Azmi Basir, 47, mengeluarkan air yang bertakung di bilih tidur rumahnya yang dinaiki air susulan hujan lebat sehingga menyebabkan banjir semalam di Taman Rambai Indah, Bukit Rambai hari ini. FOTO BERNAMA
Penduduk Azmi Basir, 47, mengeluarkan air yang bertakung di bilih tidur rumahnya yang dinaiki air susulan hujan lebat sehingga menyebabkan banjir semalam di Taman Rambai Indah, Bukit Rambai hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Mangsa banjir di Melaka terus berkurangan kepada 348 orang membabitkan 86 keluarga pada 4 petang hari ini, berbanding 478 mangsa daripada 119 keluarga pada 8 pagi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol Cuthbert John Martin Quadra berkata, semua penduduk terjejas ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi berbanding lapan pada pagi.

Katanya, 185 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dan 80 lagi di SK Demang Husin bagi daerah Melaka Tengah, manakala bagi daerah Jasin sebanyak 33 orang berlindung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shuh Yen serta 50 lagi di SK Tehel.

Di Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 26 orang daripada lima keluarga setakat 4 petang ini berbanding 72 orang daripada 17 keluarga pagi tadi.

Katanya, semua mangsa ditempatkan di Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Tenom.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 7:55 PM