TEPUNG gandum, minyak masak dan gula pasir kasar yang dirampas di Kampung Simpangan, di sini, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP
TEPUNG gandum, minyak masak dan gula pasir kasar yang dirampas di Kampung Simpangan, di sini, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Menerima upah RM20 untuk setiap penghantaran, itu tindakan seorang lelaki yang sanggup mengambil risiko dengan menjadi penyeludup barang kawalan ke negara jiran.

Bagaimanapun lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kampung Simpangan, di sini semalam ketika cuba membawa barang seludup dianggarkan bernilai RM1,804 ke pangkalan haram.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, lelaki itu ditahan dalam Op Benteng Covid-19 yang diadakan bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 4.30 petang semalam.

Menurutnya, ketika menjalankan rondaan, anggota ternampak kereta Perodua Viva dipandu suspek dari arah Kampung Jubakar ke Kampung Simpangan itu dalam keadaan mencurigakan.

"Pemandu memberhentikan keretanya sebaik menyedari dia diekori dan cuba untuk melarikan diri namun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan dalam kenderaan itu mendapati ia sarat dengan 50 kotak minyak masak dan tepung gandum masing-masing serta 10 bungkusan mengandungi gula pasir kasar.

"Semua 340 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi paket 1kg, 200 kg tepung gandum dan 240 kg gula pasir kasar yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,804," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azanizam Affendi berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengaku mengambil upah RM20 bagi setiap penghantaran dari lokasi yang ditetapkan oleh individu tidak dikenali.

Menurutnya, barang kawalan bersubsidi itu dipercayai untuk diseludup ke Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram sepanjang sempadan.

"KPDNHEP Negeri Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang terbabit dengan kegiatan sebegini akan dikenakan hukuman denda yang tinggi.

"Kami bersama agensi sempadan yang berkaitan tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melanggar arahan dan melakukan kesalahan yang tidak bermoral ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 11:50 AM