SEJUMLAH minyak masak dan tepung gandum yang ditemui di dalam dua lori yang ditahan di pintu keluar Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. FOTO ihsan KPDNHEP
SEJUMLAH minyak masak dan tepung gandum yang ditemui di dalam dua lori yang ditahan di pintu keluar Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. FOTO ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


MENYUSUN sejumlah barangan kawalan di bawah muatan yang sarat pelbagai jenis barangan makanan di bahagian belakang lori bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa.

Itu modus operandi dilakukan dua pemandu lori yang cuba menyeludup keluar 6,936 kilogram (kg) minyak masak dan 960 kg tepung gandum ke Thailand, semalam.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dihidu pihak berkuasa selepas lori berkenaan ditahan di pintu keluar Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada 4 petang semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, lori yang sarat dengan pelbagai jenis barangan makanan itu ingin keluar dari pintu sempadan secara sah.

"Namun, hasil risikan yang dijalankan kami dapati mereka cuba menyorok sejumlah barang kawalan di bawah muatan barangan makanan yang dibawa.

"Pemeriksaan ke atas lori pertama menemui 3,536 kg minyak masak bersubsidi yang cuba dibawa masuk ke negara jiran, manakala 3,400 kg minyak masak dan 960 kg tepung gandum ditemui dalam lori kedua.

"Kesemua barangan itu dianggarkan bernilai RM18,648.18," katanya ketika dihubungi di Rantau Panjang, hari ini.

Operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama anggota penguat kuasa KPDNHEP bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Pengkalan Kubor.

Azanizam berkata, permintaan tinggi dari negara jiran mendorong mereka melakukan kegiatan itu.

Malah, mereka boleh mendapat keuntungan berganda kerana dijual dengan harga RM60 hingga RM70 sekotak yang mengandungi 17 kg minyak masak berbanding RM42.50, di sini.

Menurutnya, kedua-dua pemilik kenderaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 6:06 PM