ASISTEN Komisioner Mohd Fadzil Ali. FOTO Bernama.
ASISTEN Komisioner Mohd Fadzil Ali. FOTO Bernama.
SamadiAhmad


Putrajaya: Sebanyak 16 kompaun berjumlah RM85,000 sudah dikeluarkan kepada beberapa individu yang gagal mengemukakan surat kebenaran atau sebarang dokumen berkaitan ketika operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tiga hari di pusat pentadbiran kerajaan di sini, bermula Rabu lalu.

Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, dua kompaun dikeluarkan pada 12 Mei berjumlah RM15,000 membabitkan satu kesalahan tiada surat kebenaran rentas daerah yang dikenakan kompaun RM5,000.

Katanya, kompaun berjumlah RM10,000 pula dikeluarkan terhadap seorang pemilik premis Pusat Komuniti Kitar Semula kerana gagal mengawal jumlah maksimum pelanggan di dalam premis dan empat pekerja didapati tidak mendaftar di buku pendaftaran serta melakukan pemeriksaan suhu.

Katanya, pada 13 Mei polis mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM25,000 iaitu empat kompaun berjumlah RM20,000 atas kesalahan rentas daerah tanpa surat kebenaran untuk aktiviti ziarah raya di pusat kerajaan ini.

"Satu kompaun berjumlah RM5,000 dikeluarkan atas kesalahan rentas daerah tanpa surat kebenaran untuk membeli barang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fadzil berkata, pada 14 Mei polis mengeluarkan sembilan kompaun berjumlah RM45,000 dan jumlah kompaun paling tinggi membabitkan enam kesalahan melakukan aktiviti bergambar di tempat letak kereta bertingkat Dataran Gemilang Presint 4 yang dikenakan kompaun RM30,000.

Katanya, satu kompaun bernilai RM5,000 pula dikeluarkan bagi kesalahan ingin mengadakan aktiviti bergambar di Tasik Putrajaya tanpa surat kebenaran rentas daerah.

"Dua kompaun lagi dikeluarkan kerana rentas daerah tanpa surat kebenaran makan di Putrajaya, berjumlah RM10,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 12:37 PM