Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan akan memastikan tiada murid tercicir dalam usaha mencapai hasrat anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia atau PPPM 2013-2025 menerusi pelaksanaan e-pembelajaran.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah tiada murid yang dinafikan daripada mendapat pendidikan sewajarnya termasuklah murid Orang Asli dan pribumi, Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan kanak-kanak tanpa dokumen dalam mengikuti pengajaran berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu.

Beliau berkata, arus globalisasi sudah pun membentuk hala tuju baharu pendidikan dunia.

"Dalam aspek ini, guru-guru berperanan penting dalam mengadaptasi kandungan pedagogi berteras teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

"PPPM juga berhasrat mewujudkan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan, selain relevan dan fleksibel pada setiap masa dan tempat.

"Untuk itu, guru hendaklah menyediakan 'mindset' bahawa alam sejagat ini adalah kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari Guru Kali Ke-50 Tahun 2021, yang bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan media sosial hari ini.

Perdana Menteri berkata, guru adalah dituntut untuk berusaha melahirkan murid yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu.

"Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global.

"Perubahan norma baharu yang berlaku jelas membuktikan bahawa konsep pembelajaran dan tidak harus terperangkap di antara 'four walls of room' (di dalam kelas sahaja).

"Apabila negara melalui gelombang penularan pandemik Covid-19 pada awal 2020, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung penularan, semua sekolah seluruh negara terpaksa ditutup," katanya.

Pada waktu itu, katanya, kerajaan tidak banyak pilihan namun sedar bahawa proses pembelajaran anak-anak tidak boleh terganggu dan perlu diteruskan.

Muhyiddin berkata, sejak lebih setahun lalu proses PdP konvensional sudah banyak bergantung kepada pembelajaran secara dalam talian yang kini menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan.

"Pendidikan digital menjadi pilihan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran atau PdP untuk memastikan murid kekal menerima pendidikan walaupun sekolah ditutup.

"Tahun ini sambutan Hari Guru paling bermakna kerana genap 50 tahun sejak disambut buat pertama kalinya pada 1972. Guru menjadi pendukung dan pemacu kepada transformasi pendidikan negara.

"Setiap tahun kita melihat pelbagai kejayaan anak murid. Kejayaan itu tidak akan dapat dicapai tanpa tenaga dan usaha gigih guru. Terima kasih cikgu!," katanya.

ANWAR mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. FOTO Facebook.
ANWAR mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. FOTO Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 10:58 AM