Mahaizura Abd Malik

Nilai: Perubahan persekitaran dan kurikulum pada masa ini menjadikan profesion keguruan semakin mencabar hingga menuntut golongan pendidik perlu berusaha mencari pelbagai pendekatan baru bagi meningkatkan keberhasilan murid.

Sebelum ini, pendekatan pengajaran hanya berdasarkan kepada kapasiti serta keupayaan seseorang guru merancang, menyedia dan menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara individu selain dibantu sukatan pelajaran dan pengetahuan kendiri.

Namun, seiring dengan transformasi sistem pendidikan negara, guru perlu berkolaboratif bersama guru lain dalam komunitinya bagi menghasilkan rancangan mengajar lebih bervariasi bagi menarik minat murid belajar dengan berkesan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Pembangunan Profesionalisme Keguruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Dr Amin Senin berkata, kualiti guru menyumbang kepada prestasi pencapaian sekolah dan keberhasilan murid.

Beliau berkata, perkara ini adalah satu faktor yang sedang dipertingkatkan menerusi program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Murid tak mahu belajar adalah satu contoh masalah dalam bilik darjah kita selain masalah disiplin, interaksi dan lain-lain.

“Jelas, peranan guru hari ini bukan saja mengajar, tetapi harus mencari punca dan idea bagi menyelesaikan masalah berkenaan supaya pembelajaran berlaku secara aktif,” katanya.

Menurut Dr Amin, PLC antara kaedah sesuai yang boleh digunakan golongan pendidik untuk menyelesaikan masalah dalam bilik darjah melalui amalan perkongsian sesama mereka yang boleh mengembangkan profesionalisme dan keupayaan sebagai pendidik.

“PLC memberi autonomi kepada guru menyelesaikan masalah dalam bilik darjah dengan mengikut keupayaan dan kreativiti mereka sendiri.

“Ini bermakna seseorang guru bukan saja perlu menguasai asas pengetahuan mengajar, malah berupaya dan mempunyai daya kreativiti serta inovatif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi melancarkan sesi PdP dalam bilik darjah.

“Menerusi PLC, guru boleh membuat perkongsian cara menyelesaikan sesuatu masalah dengan guru sekolah lain,” katanya.

Menurutnya, PLC adalah satu model strategi pengajaran yang diguna pakai di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat.

“Ia adalah amalan biasa dilakukan guru dalam bilik darjah namun ditambah baik daripada inisiatif program pembangunan berterusan (CPD) yang dilaksanakan pada 2011.

“Dalam Gelombang 1 PPPM, PLC sudah dilaksanakan di 1,178 sekolah menengah dan rendah seluruh negara dengan tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

“Fasa pertama menyaksikan guru-guru didedahkan dengan PLC iaitu satu kaedah perkongsian sesama guru bagi mendapatkan keberhasilan dan meningkatkan prestasi murid selaras dengan objektif PPPM,” katanya.

Katanya, usaha membudayakan PLC dalam kalangan guru sedang dilaksanakan dengan pembinaan sekolah model (showcase) bagi mempercepatkan proses mengamalkan kaedah ini di setiap sekolah.

“Sebanyak 64 sekolah seluruh negara dipilih tahun ini sebagai sekolah model yang mengamalkan pendekatan PLC ini dalam semua aktiviti PdP dengan lebih sistematik dan tersusun.

“Guru diberikan kuasa autonomi sepenuhnya untuk melaksanakan strategi PLC di samping menggalakkan guru berinovasi dan mengamalkan amalan baik untuk menjadikan proses PdP lancar serta boleh dijadikan contoh kepada sekolah lain.

“Sehingga kini, sekolah terbabit sudah mula membudayakan pendekatan PLC dalam sesi PdP mereka,” katanya.

Dr Amin berkata, usaha itu mampu mengurangkan kebergantungan guru kepada arahan pihak atasan seperti KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Jika sebelum ini, guru rasa terbeban kerana perlu membuat banyak laporan dan menerima arahan, tetapi dengan masalah yang diselesaikan menggunakan kaedah PLC ia berjaya mengurangkan pelaporan guru kepada pihak berkaitan.

“Membudayakan PLC akan menghasilkan guru yang kreatif menyelesaikan masalah dalam bilik darjah tanpa terlalu bergantung kepada pihak atasan, namun KPM, JPN dan PPD tetap memberi sokongan dan memantau.

“Saya yakin jika PLC berjaya dilaksanakan tidak mustahil semua 422,000 guru boleh menyelesaikan sendiri masalah bilik darjah,” katanya.

Menurut beliau, fasa pertama pelaksanaan PLC dalam Gelombang 1 PPPM yang menekankan pembangunan keupayaan guru sudah menunjukkan ciri perubahan positif membabitkan hampir 4,000 sekolah seluruh negara mengguna pakai kaedah ini.

“Untuk menjadikan amalan ini sebagai budaya di lebih 10,000 sekolah menengah dan rendah memang mengambil masa.

“Namun, dalam Gelombang 2 PPPM yang bertumpu kepada sistem pelaksanaan, KPM akan fokus kepada peningkatan autonomi guru dalam aspek PdP dan kita jangka kaedah itu akan dibudayakan di semua sekolah menjelang Gelombang 3 PPPM (2021-2025),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:18 AM