Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan belajar dari rumah kurang berkesan berbanding secara bersemuka.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin berkata, kementerian sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.

Menurutnya, kaedah 'Home-Based Learning' adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa.

"Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi terhad.

"Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran berasaskan 'Home-Based Learning' agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka," katanya pada Sidang Media Khas di Putrajaya, hari ini.

Mohd Radzi berkata, jika situasi itu berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran diikuti.

Beliau berkata, situasi itu akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

"Hubungan murid dengan sekolah akan terkesan kerana mereka terasing daripada suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang.

"Kementerian yakin murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat," katanya.

Sebahagian pelajar Tingkatan 5, sekolah SMK Petra Jaya Kuching, hadir ke sekolah pada hari pertama dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Covid-19 dalam suasana kebiasaan baharu. FOTO NADIM BOKHARI
Sebahagian pelajar Tingkatan 5, sekolah SMK Petra Jaya Kuching, hadir ke sekolah pada hari pertama dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Covid-19 dalam suasana kebiasaan baharu. FOTO NADIM BOKHARI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 5:16 PM