Dua bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM kerana menceroboh perairan negara pada kedudukan 75 batu nautika dan 76 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu. FOTO IHSAN APMM
Dua bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM kerana menceroboh perairan negara pada kedudukan 75 batu nautika dan 76 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu. FOTO IHSAN APMM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Cubaan dua bot nelayan Vietnam mencuri hasil laut gagal apabila ditahan di lokasi berasingan, awal pagi semalam.

Kedua-dua bot itu ditahan kira-kira 75 batu nautika dan 76 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu pada 5 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pemeriksaan ke atas dua bot itu menemukan 17 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia 15 hingga 56 tahun.

"Pemeriksaan terhadap semua kru dan tekong terbabit mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan yang sah serta tidak mempunyai lesen untuk memungut hasil laut di perairan negara.

"Kesemua rampasan dianggar bernilai RM3 juta membabitkan hasil tangkapan, peralatan menangkap ikan, bot dan bekalan diesel," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, siasatan awal mendapati nelayan warga asing terbabit dipercayai mengambil peluang musim perayaan Aidilfitri untuk menceroboh perairan negara.

"Ini kerana mereka kononnya menyangkakan ketika ini kurangnya penguat kuasaan dilakukan pihak berkuasa di laut.

"Dua bot terbabit dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk tindakan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 8:53 PM