Zaid Salim


CUBAAN dua bot nelayan Vietnam melarikan diri ke sempadan perairan antarabangsa dihalang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengambil masa satu jam sebelum menahan bot terbabit, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tangkapan terhadap dua bot terbabit dilakukan di lokasi 94 dan 107 batu nautika dari Kuala Terengganu itu antara 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya menahan 31 awak-awak dan tekong berusia antara 18 hingga 50 tahun kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

"Nilai rampasan keseluruhan dua bot terbabit dianggarkan RM3 juta membabitkan hasil laut, bekalan diesel, peralatan menangkap ikan dan vesel.

"Yang menariknya, tangkapan menerusi Op Kuda Laut itu dilakukan Kapal Maritim (KM) Tok Bali yang baru diterima APMM pada 6 Julai lalu dan ini tangkapan pertama dilakukan kapal berkenaan," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

Katanya, bot ditahan kerana tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia, malah satu daripada bot terbabit tidak memiliki nombor pendaftaran atau lesen.

"Keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora serta ombak besar menyebabkan kami terpaksa mengambil masa lama untuk menahan bot terbabit.

"Semua tahanan dibawa menjalani proses saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 27 bot nelayan asing membabitkan 301 nelayan warga Vietnam ditahan menerusi operasi itu manakala 90 bot membabitkan lebih 900 nelayan Vietnam pula diusir daripada terus menceroboh perairan negara.

KM Tok Bali dilengkapi peralatan canggih seperti pesawat tanpa pemandu, meriam, kamera infrared pemerhatian jarak jauh Sistem AIS atau Automatic Identification System, peralatan SAR seperti peralatan selam, peralatan pencegahan tumpahan minyak dan pelbagai peralatan terkini.

Kapal peronda generasi baharu atau New Generation Patrol Craft (NGPC) yang baharu sahaja diterima APMM bersama KM Kota Kinabalu itu adalah kapal buatan Malaysia yang dibina di Pelabuhan Klang.

Muhammad Suffi menyoal siasat 31 nelayan Vietnam yang ditahan KM Tok Bali menerusi Op Kuda Laut di lokasi 94 dan 107 batu nautika dari Kuala Terengganu. FOTO ZAID SALIM
Muhammad Suffi menyoal siasat 31 nelayan Vietnam yang ditahan KM Tok Bali menerusi Op Kuda Laut di lokasi 94 dan 107 batu nautika dari Kuala Terengganu. FOTO ZAID SALIM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:39 PM