GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Ipoh: Polis selesai merakam percakapan beberapa individu yang terbabit dalam insiden seorang bekas tentera maut ditembak selepas cuba menceroboh pos kawalan Batalion ke-4 Regimen Sempadan di Gerik, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin sebelum diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan masih dijalankan dan akan dilengkapkan dengan kadar segera," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini namun tidak mendedahkan identiti individu yang dirakam percakapan.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, selesai pada 2 petang semalam.

Jenazah lelaki berusia 35 tahun itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Nenering, Pengkalan Hulu kira-kira lima jam kemudian.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, seorang lelaki bersenjatakan parang cuba menceroboh ke kawasan kem berkenaan dengan memanjat pagar pintu hadapan dan kemudiannya diberikan amaran oleh anggota tentera yang berkawal di pos pengawal pintu hadapan berkenaan, namun bertindak agresif dengan menyerang menggunakan senjata yang dibawa.

Siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit adalah bekas tentera yang ditamatkan perkhidmatan pada 2013 kerana mempunyai masalah kesihatan mental.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:52 PM