IKetua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
IKetua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis mengesahkan sudah mengambil keterangan sekurang-kurangnya enam individu termasuk aktivis yang mendakwa berlaku kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di sini, kononnya selepas menerima imunisasi vaksin Covid-19 sebagaimana video tular sejak minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keterangan aktivis wanita berusia 39 tahun terbabit sudah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.

Selain itu, pihak lain yang turut dipanggil bagi dirakam percakapan iaitu pengarah kesihatan daerah Ulu Kinta, pengetua sekolah berkenaan dan pegawai perubatan yang merawat pelajar yang terbabit.

Katanya, selain itu, keluarga pelajar terbabit serta beberapa saksi yang berada di tempat kejadian sewaktu suspek membuat kenyataan sebagaimana dalam video tular berkenaan turut sudah dirakam percakapan.

Beliau berkata, siasatan kes terbabit akan disegerakan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi arahan selanjutnya.

"Mungkin kita akan mencadangkan untuk pertuduhan ke atas suspek (di mahkamah). Suspek juga mengaku ada membuat kenyataan seperti dalam video tular berkenaan yang mana sangat jelas kenyataan yang diberikannya itu tidak benar.

"Kenyataan suspek berkenaan dibimbangi dapat menggusarkan ramai lalu takut untuk menerima vaksin padahal kenyataan itu langsung tidak tepat memandangkan dua pelajar terbabit meninggal dunia sebelum divaksin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sempena hari pertama sesi persekolahan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), di Sekolah Menengah St Micheal, di sini, hari ini.

Katanya lagi, siasatan mendapati sewaktu membuat dakwaan terbabit, suspek berada di Putrajaya iaitu pada 28 September lalu.

Terdahulu, media melaporkan Mior Faridalathrash berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Menurutnya, ia kerana siasatan awal mendapati kematian kedua-dua pelajar SMK Tasek Damai terbabit, disahkan sebelum Program Imunisasi Covi1- Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja dilaksanakan di Perak iaitu bermula 20 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 9:51 AM