GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memberi jaminan menjaga kebajikan pelajar dan warga Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pantai Manis berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekolah itu bermula semalam.

Menerusi kenyataan media hari ini, JHEAINS berkata, ibu bapa diminta tidak bimbang dengan keadaan anak mereka sepanjang menjalani perintah berkenaan yang dijadualkan berakhir pada 20 Mei ini.

"Kerajaan negeri dan JHEAINS memandang berat musibah penularan jangkitan Covid-19 ini. Sememangnya jangkitan sedemikian bukan mudah untuk dielakkan, namun marilah sama-sama mendoakan pelajar, guru dan kakitangan sekolah diberikan kesabaran dan kesembuhan daripada penyakit ini.

"Ibu bapa dan orang awam tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri melalui JHEAINS sentiasa peka terhadap keperluan harian, makanan dan minuman kepada pelajar, guru dan kakitangan sekolah," katanya.

SMAN Pantai Manis dikaitkan dengan Kluster D'Kuala yang dilaporkan di daerah Papar pada Rabu lalu selepas seorang pelajar perempuan tingkatan empat disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di Hospital Papar pada 1 Mei lalu.

Pada hari sama, rakan kes indeks itu turut dikesan positif, manakala saringan kontak rapat yang dijalankan pada 2 Mei lalu mengesan seramai 14 orang lagi positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sebanyak 43 lagi kes positif baharu dikesan menerusi Kluster D'Kuala itu, menjadikan Papar penyumbang tertinggi kes baharu Covid-19 di Sabah, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 10:27 AM