FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Khutbah dan solat Jumaat di Sabah masing-masing dipendekkan kepada maksimum 10 minit dan tujuh minit dalam usaha untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 di masjid dan surau, bermula hari ini.

Prosedur operasi standard (SOP) baharu itu diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sebagai panduan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, menerusi kenyataan medianya malam tadi, berkata azan Jumaat juga akan dikumandangkan mengikut waktu Zohor.

Katanya, selepas azan pertama dan solat sunat Qabliah, azan kedua terus dilaungkan dengan tempoh yang lebih pendek berbanding azan pertama.

"Khatib akan memendekkan bacaan khutbah pertama dan kedua selama maksimum 10 minit seperti yang disediakan oleh JHEAINS. Hanya penggunaan teks khutbah JHEAINS atau yang mendapat pengiktirafan saja dibenarkan.

"Solat Jumaat pula ditunaikan dalam tempoh maksimum selama tujuh minit. Imam membaca surah atau ayat yang pendek dan membaca doa Qunut Nazilah. Selepas imam memberi salam, wirid dan doa yang ringkas saja," katanya.

Masidi berkata, jika ada jemaah disyaki atau disahkan positif Covid-19, masjid atau surau terbabit perlu melaksanakan proses sanitasi penuh, manakala jemaah yang lain diminta menjalani ujian saringan mengikut SOP Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, jumlah jemaah yang dibenarkan hadir di masjid atau surau dikekalkan mengikut kapasiti masjid selepas mengambil kira penjarakan fizikal satu meter, namun kanak-kanak, golongan berisiko, bersimptom dan masih dalam pemantauan atau siasatan Covid-19 dilarang hadir.

Jelasnya, jemaah juga diwajibkan membawa sejadah sendiri dan digalakkan berwuduk dari rumah serta mematuhi semua SOP yang ditetapkan di masjid dan surau termasuk merekodkan kehadiran dan memeriksa suhu.

Arahan menggunakan sejadah dan telekung sendiri itu turut diwajibkan di semua premis perniagaan di negeri ini.

Mengenai situasi semasa Covid-19 di Sabah, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata satu lagi kluster berkaitan sambutan Aidilfitri direkodkan di Sabah semalam.

Kluster Desa Ranggu di Tawau itu katanya, membabitkan kes indeks seorang wanita berumur 53 tahun yang sudah lengkap dua dos vaksinasi Covid-19 yang masing-masing disuntik pada 6 Mac dan 17 Mac lalu.

Beliau berkata, wanita terbabit dipercayai dijangkiti Covid-19 menerusi seorang kontak sosial yang datang berhari raya di rumahnya pada 13 Mei lalu.

"Kes indeks mempunyai gejala sejak 15 Mei lalu, kemudian disahkan positif di Klinik Kesihatan Tawau pada 20 Mei hasil saringan bergejala. Susulan kes itu, saringan kontak rapat dan kontak sosial mendapati 17 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 8:10 AM