GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah agama yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covisd-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, ia dikenali sebagai Kluster D Kuala di Papar dan membabitkan beberapa pelajar di sekolah menengah agama (SMA) Pantai Manis.

"Kes indeks merupakan pelajar perempuan berusia 16 tahun dan disahkan positif pada 1 Mei lalu hasil saringan bergejala di Hospital Papar.

"Pada hari yang sama, seorang rakan kepada indeks kes juga dikesan positif.

"Susulan kes itu, pengesanan secara aktif (ACD) dan saringan terhadap kontak rapat dijalankan pada 2 Mei lalu merangkumi rakan sebilik serta guru.

"Hasil saringan merekodkan 14 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes," katanya.

Mengulas lebih lanjut, Masidi berkata, berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada kontak rapat yang mempunyai gelaja lebih awal.

"Kebarangkalian ini adalah berdasarkan kes yang direkod pada 3 Mei lalu di mana beberapa pelajar yang dikesan positif mempunyai gejala lebih awal daripada pengesanan kes indeks di sekolah terbabit.

"Setakat hari ini, kawalan penularan giat dilaksanakan dan arahan penutupan sekolah juga sudah dikeluarkan mulai 2 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak dua angka kes.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 89 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,461 kes serta dua kes kematian direkodkan masing-masing membabitkan Tawau dan Kalabakan.

"Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital berjumlah 109 menjadikan jumlah kumulatif 57,173 orang.

"Seramai 664 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 233 orang di hospital dan 431 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:45 PM