Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Taktik dua lelaki menggunakan dua kereta diubahsuai di bahagian but bagi menyeludup dadah methamphetamin dan ketamin tumpas selepas ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang menerima maklumat menjalankan operasi khas pada 11.30 pagi dan menahan suspek pertama berusia 57 tahun di Taman Taynton, Cheras.

Menurutnya, hasil soal siasat suspek kemudian membawa polis ke rumah teres dua tingkat di Alam Damai, Cheras dan seorang lagi suspek berusia 44 tahun ditahan polis.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu merampas dadah methamphetamin seberat 43.9 kilogram (kg) dan ketamin 8.4 kg bernilai RM2 juta.

"Turut dirampas dua kereta, sebuah motosikal, rantai emas, cincin emas dan wang tunai RM3,095," katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi berkata, siasatan polis mendapati suspek mengubah suai but kereta terbabit bagi menyembunyikan dadah supaya tidak dikesan pihak berkuasa.

"Malah kos ubah suai itu dianggarkan berjumlah RM6,000 bagi setiap kereta dengan turut mempunyai butang kawalan bagi membuka bahagian yang diubah suai itu.

"Dadah ini diperoleh dari selatan tanah air dengan dibawa menggunakan kereta itu di mana mereka aktif sejak tiga bulan lalu malah sekali pengambilan sebanyak 80 kg dadah," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal suspek pertama menyewa rumah itu selama enam bulan dengan bayaran RM2,000 sebulan.

AZMI menunjukkan but kereta yang diubahsuai untuk menyeludup dadah. FOTO Hazreen Mohamad
AZMI menunjukkan but kereta yang diubahsuai untuk menyeludup dadah. FOTO Hazreen Mohamad

"Ujian saringan awal urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah methamphetamin dan mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek direman bermula semalam sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran Lembah Klang di mana ia dapat dibekalkan kepada 52,330 pengguna dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 4:54 PM