Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri di ibu kota akan diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa mulai esok.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata, bazar Ramadan dibenarkan beroperasi selama lima jam setiap hari, antara 3 petang hingga 8 malam, manakala bazar Aidilfitri beroperasi antara 10 pagi hingga 10 malam dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, kebenaran itu dibuat bagi mengimbangi rayuan dikemukakan peniaga kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Peniaga dalam rayuan mereka menjelaskan sudah membeli dan perlu menghabiskan stok masing-masing. Keduanya, tiada kes di tempat itu (bazar Ramadan dan Aidilfitri).

"Dalam keadaan peniaga patuh dan tiada kes berlaku, mereka meminta dipertimbangkan supaya dibenarkan berniaga bagi tempoh berbaki beberapa hari lagi (sebelum sambutan Aidilfitri)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di seluruh Kuala Lumpur mulai esok hingga 20 Mei berikutan terdapat 17 kluster baharu direkodkan di ibu kota dengan jumlah kes harian semakin meningkat.

Dalam pada itu, Annuar mendedahkan, lebih 700 kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dikenal pasti mengunjungi pasar raya dan pusat membeli-belah sekitar Kuala Lumpur, terutamanya di Bukit Bintang, dekat sini.

Beliau berkata, angka itu diperoleh daripada data MySejahtera dengan keadaan itu disifatkan berbahaya kerana dikhuatiri mendedahkan pengunjung lain kepada risiko jangkitan virus terbabit.

Katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba juga sudah menyerahkan salinan senarai pasar raya dan pusat beli-belah terbabit selain perbincangan mengenainya termasuk perjalanan bazar Ramadan dan Aidilfitri akan dibangkitkan dalam mesyuarat dijadualkan esok.

"Jika data membuktikan tempat berkenaan (pasar raya atau pusat membeli-belah) dikunjungi oleh sejumlah kontak rapat atau pesakit Covid-19, kita tetap akan tutup juga (premis berkenaan).

"Kebenaran ini sudah diberi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sebarang tindakan akan dibuat berdasarkan data diberikan KKM," katanya.

INSPEKTOR Nitas Camillus (kanan) bersama Konstabel Mohd Shuib Ali Rahman menggunakan dron bagi memantau pematuhan SOP oleh peniaga dan pengunjung Bazar Ria Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Ahad lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim
INSPEKTOR Nitas Camillus (kanan) bersama Konstabel Mohd Shuib Ali Rahman menggunakan dron bagi memantau pematuhan SOP oleh peniaga dan pengunjung Bazar Ria Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Ahad lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut mengarahkan PBT di Kuala Lumpur untuk mengerahkan lebih ramai penguat kuasa bagi memantau tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat.

"Saya sudah maklumkan kepada Datuk Bandar supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan sama terhadap individu ingkar SOP selepas kuasa mengenainya diturunkan daripada Ketua Pengarah Kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:44 PM