Kawasan Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman ditutup setelah tersenarai didalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE). FOTO ASYRAF HAMZAH
Kawasan Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman ditutup setelah tersenarai didalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE). FOTO ASYRAF HAMZAH
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan diharap boleh mempertimbangkan insentif segera bagi peniaga yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula minggu lalu.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohamed Zamri Mohammed berkata, PKP di beberapa negeri dan daerah menyebabkan peniaga hilang punca pencarian khususnya mereka yang menjual kelengkapan Aidilfitri.

Menurutnya, ini tambahan pula apabila premis perniagaan di lokasi tertentu yang perlu ditutup serta merta sekiranya tersenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

"Jika ada bantuan segera seperti diberikan kerajaan Selangor khususnya untuk peniaga kecil dan penjaja ia boleh meringankan beban.

"Kebanyakan mereka terpaksa menanggung kerugian selepas barangan tidak terjual selain bahan mentah yang tidak dapat digunakan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk membenarkan penganjuran bazar selepas Aidilfitri ini jika jumlah kes menurun.

Katanya, walaupun kemeriahannya sudah berkurangan namun ia mungkin boleh membantu peniaga menjual stok tidak terjual kerana PKP.

"Ia juga memberi peluang untuk orang ramai yang tidak sempat membeli kelengkapan raya untuk berbuat demikian.

"Sekurang-kurangnya barangan yang sudah dibeli itu terjual dan mampu menanggung kos modal," katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi HIDE di Kajang mendapati premis berkenaan lengang kerana tidak dibuka kepada orang ramai.

Notis makluman penutupan juga sudah dikeluarkan untuk membolehkan kerja sanitasi dijalankan.

Premis yang tersenarai dalam sistem HIDE perlu ditutup selama tiga hari kerja pembersihan dan sanitasi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 5:51 PM