SHIKH Muhammad Makhdad Haron menyerahkan kereta infaq kepada ibu tunggal.FOTO Makhdad
SHIKH Muhammad Makhdad Haron menyerahkan kereta infaq kepada ibu tunggal.FOTO Makhdad
Nazri Abu Bakar

Melaka: "Syukur Alhamdulillah. Niat hati saya mahu infaqkan kereta kepada ibu tunggal yang memiliki lima anak terlaksana," ujar pengusaha bengkel, Shikh Muhammad Makhdad Haron, 48 yang menetap di Malim Jaya di sini.

Menurutnya, dia terkesan selepas melihat kepayahan keluarga itu yang menaiki motosikal lima beranak sehingga terdetik di hatinya untuk membantu.

"Ibu tunggal terbabit sebelum ini pernah memiliki kereta namun terbabit kemalangan di Bukit Beruang di sini, awal Mac lalu. Akibatnya kereta itu terpaksa dijual sebagai besi buruk pada harga RM500.

"Malah wang itu juga digunakan untuk merawat anak perempuannya berusia 11 tahun yang menghidap sakit sawan," katanya.

Dia berkata, lebih meruntun jiwa apabila wanita itu tidak dapat menjual kuih-muih dan nasi lemak susulan masalah dihadapinya itu.

Shikh Muhamma berkata, kemahirannya membaiki kereta dan motosikal lama membolehkan kenderaan itu disumbangkan kepada golongan tidak berkemampuan.

"Saya kini sedang menyediakan dua lagi kereta terpakai untuk disumbangkan kepada asnaf kurang bernasib baik untuk membolehkan mereka bergerak atau menjalankan perniagaan," katanya.

Malah dia turut menyerahkan sebuah motosikal terpakai kepada salah sebuah pusat tahfiz hujung tahun lalu dan sebuah lagi kepada seorang asnaf.

Sementara itu, isterinya, Siti Zaidah Mohd Saleh, 50, menyokong usaha suaminya sekaligus dapat meringankan beban mereka yang mengalami kesusahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 5:47 PM