Antara kuih muih yang diberi percuma sepanjang Ramadan oleh Shikh Muhammad Makhdad Harun. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Antara kuih muih yang diberi percuma sepanjang Ramadan oleh Shikh Muhammad Makhdad Harun. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Sesiapa saja boleh mengambil sahaja kuih muih disediakan percuma untuk berbuka puasa," kata Shikh Muhammad Makhdad Harun dari Taman Asean, Malim, di sini.

Katanya, kuih muih pelbagai jenis itu diletakkan di hadapan rumahnya untuk diambil orang ramai sebagai sedekah jariahnya sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurutnya, usaha berkenaan dilakukan pada Ramadan tahun lalu selepas menyedari ramai terkesan dengan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

"Tidak kira sama ada asnaf atau tidak, mereka boleh mengambil kuih muih itu selepas Asar dengan konsep pandu lalu tanpa perlu menulis nama atau memperkenalkan diri.

"Apa yang menggembirakan saya berikutan semua kuih muih pelbagai jenis itu termasuk karipap, koci, lapis, seri muka, ondeh-ondeh dan talam habis menjelang waktu berbuka puasa," kata pengusaha bengkel kenderaan itu.

Shikh Muhammad Makhdad, 48, berkata, usaha terbabit antara usahanya untuk meringankan beban serta berkongsi rezeki dengan mereka yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan susulan Covid-19.

Menurutnya, lebih menarik apabila semua lima anaknya berusia 15 hingga 23 tahun turut membantu mengagihkan kuih muih, air atau apa sahaja mengikut situasi semasa.

Sementara itu, isterinya, Siti Zaidah Mohd Saleh, 50, berkata kuih muih berkenaan dibeli di bazar Ramadan dan penjual kuih, sekali gus merancakkan ekonomi masyarakat.

"Kami memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan berkenaan kerana hanya untuk mendapat pahala dan kebaikan dunia serta akhirat.

"Selain kuih muih, dia turut menyediakan keperluan asas yang lain termasuk beras, tepung dan gula kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Anak-anak Shikh Muhamad Makhdad turut membantu mengagihkan kuih percuma. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Anak-anak Shikh Muhamad Makhdad turut membantu mengagihkan kuih percuma. FOTO NAZRI ABU BAKAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 6:03 PM