Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Alhamdulillah, hutang kedai runcit sudah dibayar dan kami kini sudah tak berlapar lagi kerana ramai datang beri makanan," kata Rini Mohd Yusup.

Rini, 41, yang juga ibu tunggal berkata, sejak kisahnya bersama tiga anak yang hidup dalam kesempitan hingga terpaksa berhutang mi segera disiarkan, ramai pihak datang membantu mereka.

Dia yang berasal dari Acheh, Indonesia dan kematian suami sejak April lalu, berkata ada pihak tampil menghulurkan barang makanan tidak kurang memberi sumbangan kewangan.

"Wang disumbangkan itu saya gunakan untuk membayar hutang RM50 di kedai runcit yang selama ini saya ambil barang makanan termasuk mi segera untuk kelangsungan hidup kami empat beranak.

"Barang makanan pula sudah banyak dalam rumah terutama beras dan kami turut diberikan sardin serta telur untuk dijadikan lauk," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum ini, Rini dan suaminya Saiful, 50, seorang warganegara Bangladesh tinggal dalam bangsal di pinggir hutan di kampung sama hampir 10 tahun dan selepas kematian suaminya itu, dia dan tiga anak berpindah ke sebuah rumah disewa sebanyak RM50 sebulan.

Dia berkata, selain sumbangan makanan dan kewangan, ada individu bermurah hati ingin membayar sewa rumahnya setiap bulan.

Rini dan tiga anaknya, Mohamad Safuan, 8, Mohamad Alsam, 6 dan Nor Saimah, 4, ditemui di Rumah Kaseh Bakti Orang Kota Bharu (OKB), di Jalan Sri Cemerlang, di sini, selepas menerima sumbangan barang dapur dan pakaian terpakai menerusi Khemah Kaseh Sedekah Jariah OKB Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK).

Mereka yang menetap di Kampung Limau Madu, Kuala Krai dibawa wakil kumpulan aktivis masyarakat iaitu Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf dan menghabiskan masa kira-kira satu jam memilih barang makanan serta pakaian terpakai untuk kegunaan mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan OKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya terpanggil untuk menjemput keluarga Rini mendapatkan barang keperluan dan pakaian di khemah asnaf itu kerana bersimpati atas nasib menimpa mereka.

Beliau berkata, Khemah Kaseh Sedekah Jariah OKB YKKK itu diwujudkan sejak Julai lalu dengan menyediakan keperluan pakaian terpakai serta barangan makanan asas kepada asnaf yang boleh didapatkan secara berkala.

"Bagi pakaian terpakai, orang ramai boleh datang mendapatkannya setiap hari manakala barangan makanan termasuk kuih sejuk beku pula sekurang-kurangnya seminggu sekali.

"Pakaian ini disumbangkan orang ramai manakala kami bekerjasama dengan Pasaraya Mydin untuk bekalan makanan dan makanan sejuk beku pula menerusi Jabatan Penjara negeri," katanya.

RINI (kiri) bersama rakan dan tiga anaknya. FOTO SITI ROHANA IDRIS
RINI (kiri) bersama rakan dan tiga anaknya. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Berita berkaitan

'Berhutang mi segera untuk alas perut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:00 PM